7-June-2002 - Utusan Malaysia

 

TableTalk Kaedah Baru Promosi Di Kedai Makan

um_press_6_6_2002.jpg (160023 bytes)
Click to enlarge Press Release

PETALING JAYA 7 Jun - Orang ramai bakal menerima maklumat mengenai sesuatu produk, perkhidmatan atau promosi ketika mengunjungi restoran dan kedai-kedai makan melalui kaedah iklan terbaru dikenali sebagai Table Talk.

Ketua Pegawai Eksekutif Tableview (M) Sdn. Bhd., Kelvin Hong berkata, Table Talk ialah iklan yang dilekatkan di atas meja kedai-kedai makan yang dikunjungi ramai pelanggan, terutamanya di restoran India Muslim, kafe dan kedai kopi di seluruh Lembah Kelang.

"Iklan ini menggabungkan ciri-ciri 'kebiasaan' dan 'pemasaran kreatif', di mana pelanggan akan dimaklumkan mengenai produk dan barangan ketika mereka menikmati teh tarik atau roti canai di restoran kegemaran mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu majlis menandatangani perjanjian bersama (MoU) perkongsian pintar di antara Tableview dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) di sini semalam. Turut hadir Presiden Presma, Jamarulkhan Kadir.

Kelvin berkata, Table Talk merupakan cara pengiklanan yang berkesan, segera, menarik perhatian, mudah kelihatan dan senang menjadi topik perbualan.

"Ia diilhamkan berdasarkan keserasian rakyat Malaysia yang cenderung memilih persekitaran warung mamak kerana ia sinonim dengan kehidupan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa,'' katanya.

Justeru, katanya, Tableview memilih untuk bekerjasama dengan Presma yang mempunyai hampir 2,000 ahli di Semenanjung Malaysia yang mempunyai kedai makan yang dibuka 24 jam.

"Tableview juga merupakan syarikat ulung yang mendapat hak eksklusif untuk menjual ruang iklan atas meja di kebanyakan restoran India Muslim dan kedai-kedai makan yang menjadi tumpuan ramai di Lembah Kelang," katanya.

Setakat ini jenama-jenama terkenal seperti Panasonic, Intel dan 20th Century Fox adalah antara pengiklan terawal mengiklankan produk mereka dengan Tableview.

 


 

Back to Happenings