5-September-2002 - Berita Harian

 

Kad Jom Ke Mamak diperkenal
 

bh_press_5_9_2002.jpg (115869 bytes)

Click to Enlarge

TABLEVIEW (M) Sdn Bhd (Tableview) muncul syarikat pertama memperkenalkan Kad Kesetiaan “Jom Ke Mamak” bagi memberi ganjaran kepada pelanggan yang menikmati makanan di restoran mamak.

Pelancaran Kad Kesetiaan itu yang dilaksanakan dengan sokongan Persatuan Restoran India Muslim (Presma), membolehkan pelanggan memperoleh ganjaran menerusi dua cara.

Pertama, pelanggan hanya perlu berbelanja RM10 di restoran dan kedai mamak bagi mendapatkan sekeping Kad Kesetiaan Jom Ke Mamak dengan memperoleh satu setem.

Menerusi cara itu, pelanggan hanya perlu mengumpul 10 setem untuk membolehkan mereka menebus satu hidangan percuma di rangkaian restoran atau kedai mamak.

Melalui cara kedua pula, pelanggan boleh mendapat mata ganjaran misteri dengan hanya menulis butir peribadi pada kad ganjaran berkenaan.

“Pada peringkat awal, Kad Kesetiaan Jom Ke Mamak boleh diperoleh di restoran dan kedai mamak terpilih di kawasan Lembah Klang,” kata Ketua Eksekutif Tableview, Kelvin Hong.

Bagaimana pun katanya, syarikat bercadang untuk memperluaskan program mata ganjaran itu ke seluruh restoran atau kedai mamak yang berdaftar dengan Presma pada masa depan.

Beliau berkata, pelancaran kad berkenaan dibuat selepas mengambil kira gaya dan kebiasaan cara hidup pengguna di negara ini dengan teliti.

“Kad Kesetiaan ini bakal membawa lebih keseronokan dan mampu menjadi daya penarik terhadap restoran dan kedai mamak di seluruh negara.

“Restoran Mamak sememangnya menjadi satu keunikan di Malaysia dan kami berbangga dapat melancarkan produk ini demi manfaat bersama,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Hong berkata, kad berkenaan direka sedemikian rupa untuk membolehkan ia mempamerkan iklan dengan lebih berkesan.

Iklan yang dipamerkan pada kad itu berupaya memberi kelebihan yang berdaya saing kepada pengiklan untuk mengukuhkan kesedaran pengguna terhadap jenama mereka.

Ruang iklan pada kad juga boleh digunakan untuk memantapkan imej sesuatu jenama atau promosi kepada pengguna.

Menerusi perkongsian strategik dengan Presma, Tableview mempunyai hak eksklusif mempamerkan pengiklanan atas meja di 2,000 restoran dan kedai mamak di seluruh negara.

Idea itu turut digunakan oleh Ford Malaysia untuk tujuan pengiklanan Ford Ranger. Iklan berkenaan tertera pada keluaran sulung Ogos lalu.

 

 

Back to Happenings